Wanita sering ditindas serta selalu menjadi mangsa penderaan. Mungkin kerana sifat mereka yang lemah lembut maka golongan ini sering dijadikan alat untuk melepaskan geram atau hawa nafsu. Keadaan ini menyebabkan ramai wanita menderita. Disebabkan sikap segelintir daripada golongan yang suka mengambil kesempatan di atas kelemahan wanita ini membantutkan usaha untuk mencapai tahap kesejahteraan dan pembangunan masyarakat yang lebih baik. Penderaan ke atas wanita adalah salah satu bentuk keganasan, sementelah isteri yang didera suami pula dikategorikan sebagai satu bentuk keganasan rumahtangga. Women´s Aid Organisation memberikan tafsiran keganasan atau penderaan terhadap wanita dapat didefinisikan sebagai perbuatan yang menganiayai wanita dan kanak-kanak dalam pelbagai cara, semata-mata kerana wanita tersebut dianggap sebagai tidak mempunyai taraf yang sama dengan lelaki. Penderaan terhadap wanita ini meliputi semua bangsa, agama, pendapatan, kelas dan budaya.
Berdasarkan Deklarasi Mengenai Penghapusan Keganasan terhadap Wanita oleh PBB pada 1993, keganasan terhadap wanita ditakrifkan sebagai sebarang bentuk keganasan berasaskan gender yang mendatangkan kesan atau boleh memberi kesan kerosakan atau penderitaan secara fizikal, seksual atau mental. Terdapat beberapa jenis penderaan yang sering dilakukan terhadap golongan wanita.
Jenis penderaan:
Penderaan Psikologi dan Emosi
Penderaan Fizikal
Penderaan Seksual
Penderaan Sosial
Penderaan Kewangan
Berdasarkan statistik menunjukkan majoriti mangsa dalam keganasan rumah tangga, wanita yang sering kali di dera oleh pasangan mereka. Kes penderaan wanita dilaporkan berlaku di seluruh negara mencatatkan bilangan tidak kurang 400 kes. Walau bagaimanapun, jumlah itu masih dianggap kecil berbanding jumlah sebenar kes penderaan yang berlaku kerana ramai wanita tidak berani tampil membuat aduan polis mengenai kejadian terbabit. Statistik menunjukkan bahawa Negeri Pulau Pinang kerap mencatat angka keganasan atau penderaan wanita yang tinggi sepanjang 3 tahun (2003 –2006). Ini menunjukkan penderaan / keganasan wanita tidak tertumpu kepada negeri yang menjadi pusat tumpuan pembangunan seperti Selangor dan Kuala Lumpur. Ini menunjukkan kepesatan teknologi dan kesesakan pembangunan bukan faktor utama dalam masalah ini.
Pihak kerajaan memandang serius isu ini dengan mengambil pelbagai langkah sebagai usaha mencegah dan mengatasi masalah ini termasuklah penguatkuasaan undang-undang, pelaksanaan program-program kesedaran serta pengukuhan institusi kekeluargaan itu sendiri. ahagian Bimbingan dan Kaunseling diwujudkan bertujuan untuk membantu wanita yang menghadapi pelbagai masalah termasuk menentang sebarang bentuk keganasan.Segala aduan mangsa keganasan akan disalurkan kepada jabatan yang berkaitan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Biro Bantuan Guaman dan Polis Diraja Malaysia untuk siasatan dan tindakan selanjutnya.
Masyarakat juga harus menanam nilai kemanusiaan tanpa keganasan dalam kehidupan seperti sikap pemurah, penyabar, toleransi dan prihatin dan ia tidak bergantung pada "gender". Lelaki perlu mengawasi tingkah laku serta memupuk rasa hormat terhadap wanita.Kedua-dua belah pihak Lelaki dan wanita harus belajar menghormati antara satu sama lain dan tidak memainkan peranan dominan dan taat yang membuta tuli. Penbenukan kersefahaman dalam perhubungan, kearah permuafakatan adalah penting dan ia mampu menyelamatkan dan mengurangkan kes penderaan dikalangan wanita